Make your own free website on Tripod.com

TEORI KEBAIKAN DALAM ETIKA

Rorzali Salleh MSc. (HRD) UNIMAS


PENGENALAN

Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan,hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan.Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau tingkahlaku manusia.Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral,prinsip moral,kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Etika berasal daripada perkataan ‘ethics’ yang diambil daripada perkataan ‘ethos’ yang membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan.Etika boleh dibahagikan kepada 2 iaitu Normatik yang merujuk kepada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat; manakala Metaethic pula dibahagikan kepada dua iaitu Analitik yang berkaitan dengan menganalisis semua peraturan yang berkaitan tingkahlaku baik dan jahat, dan Kritikal yang berkaitan dengan mengkritik terhadap apa-apa yang telah dianalisis.Dengan lain perkataan,etika dapat didefinisikan sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral.

Etika menurut French dan Granrose (1995) adalah : "A set of normative guidelines directed towards resolving conflicts of interest,so as to enhance societal well-being". Untuk membentuk etika yang baik,tingkahlaku seseorang itu adalah penting dan seseorang itu perlu ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan.Dengan berasaskan kepada etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang itu.

Buchnolz (1989) pula mendefinisikan etika sebagai: "…… is a systematical attempt,through the use of reason,to make sense of our individual and social moral experience in such a way as to determined the rules that ought to governed human conduct and the values worth pursuing in life".

Bagi memberi makna kepada perjalanan moral sosial dan individu,perlu ada satu sistem yang boleh menggunakan alasan-alasan dan bertindak sebagai satu panduan yang boleh memberi kebaikan kepada tingkahlaku manusia dan seterusnya menjadi kehidupan itu lebih bermakna.

White (1993) pula mengatakan etika adalah cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan moral(virtue moral) dan menilai tindakan manusia.Falsafah etika adalah berbeza daripada undang-undang,keagamaan,budaya dan pendekatan secara peribadi kepada etika adalah menerusi kajian tingkahlaku tentang moraliti melalui rasional yang dilihat kepada kehidupan manusia.

Etika bermula di zaman purba Greek apabila ahli-ahli falsafah hanya memberikan tumpuan kepada kebaikan moral.Socrates(469-399B.C.) menggunakan pendekatan yang mencabar dan menggalakkan rakan-rakannya untuk berfikir tentang kebaikan(virtue) dan kesihatan roh (health of the soul).Idea utama Socrates tentang etika adalah berhubung dengan menyakinkan orang agar menjadi berakhlak mulia(virtuous).Socrates mengatakan bahawa kebahagian adalah mustahil diperolehi tanpa memiliki moral kebaikan dan tindakan yang tidak beretika akan menggangu orang lain malah beliau menganggap orang yang tidak beretika sebagai orang yang lemah dan mempunyai psikologi yang tidak sihat.

Hubungan etika dan personaliti manusia dilanjutkan oleh anak muridnya iaitu Plato(428-348B.C.) yang mengatakan bahawa moral kebaikan adalah suatu imbangan dan harmoni di kalangan perbezaan yang wujud dalam roh(soul) dan alasan(reason) akan mengamblalih keperluan fizikal dengan dibantu oleh emosi.Sepertimana Socrates,Plato melihat moral kebaikan sebagai suatu keperluan terhadap kesihatan roh tetapi kebaikan yang sejati adalah sukar dicapai dan bergantung sepenuhnya kepada peringkat pembelajaran falsafah yang tinggi dan kebenaran metafizik yang memerlukan kajian yang lama.Oleh itu,mengikut Plato kebaikan moral adalah berada di bahagian dalaman intelektual.Bagi Aristotle(384-322B.C.)pula,beliau melihat kebaikan moral agak berbeza daripada Plato dan Socrates di mana beliau menyatakan bahawa kebaikan moral mempunyai hubungan yang sedikit dengan intelektual tetapi lebih kepada sifat(character) atau personaliti.Aristotle mendefinisikan kebaikan moral (virtue moral) sebagai: "not…… according to the nature of the actions,but according to the dispositions of the doer". Aristotle juga mempertikaikan tentang kebaikan moral dikembangkan sepertimana kemahiran fizikal iaitu menerusi latihan dan tabiat.Bagi Aristotle,beretika adalah merupakan dimensi dalaman dalam tindakan seseorang dan kebaikan(virtue) bergantung kepada sifat bukan perbuatan(deeds) dan sifat seseorang itu dibentuk oleh setiap tindakan yang dipamerkan.Plato dan Socrates pula mengatakan beretika itu mempunyai hubungan yang rapat antara kebaikan moral dan personaliti yang sihat.Walau bagaimanapun ketiga-tiga ahli falsafah ini berpendapat bahawa kebajikan seseorang itu bergantung sepenuhnya dan berada di dalam tangan seseorang itu.

Sekiranya etika dahulu menekankan kebaikan moral dan rasionalnya,etika moden banyak menfokuskan kepada menentukan sifat-sifat beretika menerusi tindakan dan telah membentuk 2 persaingan iaitu tindakan yang mempunyai sifat etika dalaman dan memerlukan status moral daripada akibat(consequences) yang dibuat dan tindakan itu samada betul atau salah.Dahulunya ia dikenali sebagai Teologikal dan sekarang dikenali dengan Deontological iaitu pendekatan kepada etika.

Etika bukan sahaja terdiri daripada satu set peraturan atau huraian yang menentukan bagaimana seseorang seharusnya bertindak tetapi ia terdiri daripada tindakan dan motif orang yang beretika dalam melakukan sesuatu yang betul(right) dalam semua situasi yang dihadapi.Tindakan beretika datang dari seorang yang berakhlak mulia(virtuous) yang mengambil berat tentang melakukan sesuatu yang baik dan bukannya menjadi hamba kepada satu set peraturan yang difikirkan mempunyai kaitan dengan kebaikan dalam keadaan yang tertentu.

Teori Etika Teologikal dan Deontologikal adalah berkaitan dengan prinsip dan peraturan yang memperkatakan tentang apa yang sepatutnya dilakukan dan bukannya apakah jenis manusia yang hendak dibentuk.Teori Etika Teologikal yang juga dikenali dengan ‘consequentialism’ adalah sejenis teori yang mendakwa bahawa samada sesuatu tindakan secara moral itu betul atau salah adalah bergantung sepenuhnya kepada akibat(consequences) atau hasil daripada sesuatu tindakan.Sementara Teori Etika Deontologikal pula adalah sejenis etika kepercayaan yang mendakwa atau menyatakan bahawa kewajipan atau tugas adalah asas kepada betul(right) atau salah(wrong).Tugas etika adalah menyediakan garispanduan kepada tindakan (action) yang tekal dengan anggapan umum tentang maksud etika atau moral.

Dalam membuat pertimbangan tentang etika dan moral,seseorang itu tidak sahaja membuat penilaian terhadap tindakan seseorang samada betul atau salah,ia juga perlu membuat penilaian dari segi perwatakan yang baik atau buruk.Kritikan dibuat adalah secara positif atau negatif dan bukan setakat berdasarkan kepada apa yang dilakukan tetapi siapa mereka dan apakah perwatakan dalaman yang dipamerkan.Sebagai contoh, dalam satu insiden kemalangan kapalterbang yang jatuh terhempas ke dalam laut dan terdapat beberapa mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.Salah seorang daripada mangsa tersebut telah menjumpai tali dan menjalankan proses menyelamat dengan tujuan untuk mengumpul mangsa-mangsa yang berselerakan.Tanpa menghiraukan keselamatan dirinya,mangsa tersebut telah menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain ke tempat yang selamat dan akhirnya dia sendiri telah tenggelam ke dasar laut.Tindakan mangsa yang mati tadi seharusnya dipuji kerana disifatkan sebagai seorang yang berhati baik kerana tidak mementingkan diri sendiri dan berkesanggupan untuk menggorbankan nyawa bagi menyelamatkan orang lain.

Etika kebaikan(virtue) memperkatakan tentang penyemaian tret berakhlak mulia(virtuous) dalam sifat seseorang sebagai antara fungsi asas perlakuan moral.Pilihan yang betul yang dibuat adalah berdasarkan kepada perasaan tanggungjawab tetapi tidak semestinya menentukan seseorang itu sebagai seorang yang berakhlak mulia(virtuous).Seseorang yang memiliki ‘ethical egoism’ bertindak kerana hanya melaksanakan tanggungjawab kadangkala dianggap sebagai tidak ikhlas dan lebih kepada memenuhi keperluan moralnya.Oleh yang demikian,kita tidak boleh menganggap mangsa yang mati tadi sebagai seorang yang berakhlak mulia dan memiliki sifat yang baik dan bermoral.Mangsa yang mati tadi boleh dipuji kerana tindakannya tetapi tidak kepada tindakan yang dibuatnya dari segi individu itu sendiri.

Dalam kes mangsa yang mati kerana untuk menyelamatkan orang lain,maklumat lain tentang mangsa tersebut tidak diketahui melainkan tindakan yang telah diambilnya untuk menyelamatkan orang lain.Sebaliknya pula dia dianggap sebagai seorang yang berakhlak mulia kerana tidak mementingkan diri sendiri dan berani dengan tindakan yang diambilnya.Samada dia melakukannya kerana tanggungjawab atau tidak,adalah tidak diketahui dan mungkin tindakannya itu tidak membawa sebarang makna.Kita menganggapnya sebagai seorang hero kerana tindakannya dan menganggap dia memiliki ciri-ciri tret yang tekal dengan tindakannya.Kita percaya bahawa terdapat hubungan dengan tindakan yang diambilnya,yang mana kita boleh mempertikaikan tindakan moralnya dan dirinya sendiri daripada mengatakan etika itu adalah apa yang telah dilakukannya.Malah kita boleh katakan bahawa etika itu terdiri daripada tindakan moral yang diambil atau dilakukan oleh seseorang yang bermoral.

Mangsa yang mati kerana menyelamatkan orang lain boleh katakan sebagai seorang yang mempunyai egoism jenis ‘psychological egoism’ iaitu tingkahlaku seseorang itu dimotivasikan oleh kehendak sendiri.Adalah sukar untuk diterima bahawa mangsa itu telah meletakkan keutamaan orang lain daripada keselamatan dirinya sendiri dan mengorbankan nyawa sendiri untuk membolehkan orang lain hidup.Menerusi tindakannya itu tidak seorangpun boleh mengatakan bahawa dia melakukan tindakan tersebut kerana keinginannya sendiri.Tetapi sekiranya dikaji secara mendalam,ia akan dapat melihat bahawa tindakan mangsa tersebut mempunyai unsur-unsur keinginan sendiri(self-interest).Mangsa yang membantu dalam menyelamat tadi mungkin telah wujud di dalam dirinya perasaan integriti yang menyebabkan ia berkorban dalam situasi tersebut.Untuk ia melakukan sesuatu yang lain adalah mustahil kerana ini akan merosakkan imej dan integriti dirinya sendiri.Sekiranya dia membiarkan dirinya diselamatkan dan menyebabkan orang lain mati,dia mungkin tidak dapat meneruskan hidup kerana merasa malu kepada keluarga,rakan dan seterusnya timbul perasaan menyesal sepanjang hidupnya.Jadi dia tidak mempunyai pilihan selain daripada bertindak berdasarkan imej yang telah dibentuk untuk sekian lama.Dia samada boleh membiarkan orang lain menyelamatkannya dan ini akan merosakkan psikologinya atau dia menyelamatkan orang lain dan merosakkan dirinya secara fizikal.

Mangsa tersebut juga mungkin membuat satu andaian secara tidak sedar tentang kebaikan selepas mati di mana dia menerima pujian daripada rakan-rakannya dan dianggap sebagai seorang yang tidak mementingkan diri sendiri.Mangsa tadi mungkin juga mempunyai sifat ethical egoism iaitu melakukan sesuatu untuk kepentingan peribadi dan dalam keadaan ini dia menganggap tindakannya itu sebagai satu ganjaran kepada sifat superegonya itu di mana sekiranya dia tidak melakukan tindakan tersebut dia mungkin menyesal kerana tidak bertindak dan seterusnya menjadi hero dalam situasi tersebut.

Sesuatu etika yang berasaskan kepada kebaikan adalah bergantung kepada penilaian daripada beberapa tret sifat yang terpilih dan seharusnya tidak terkeliru dengan prinsip atau kenyataan tentang apa yang sepatutnya dilakukan.Etika kebaikan adalah berkaitan dengan sifat-sifat semulajadi,tabiat atau tret yang dimiliki oleh seseorang atau keinginan yang dimilikinya.Moral kebaikan boleh dikatakan sebagai sifat semulajadi yang kekal,tabiat atau tret yang berkaitan dengan moral yang terpuji.Dengan kata lain,kebaikan(virtue) adalah berhubung dengan kualiti dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat menerusi aktiviti sehariannya.Etika kebaikan adalah berasaskan kepada keadaan semulajadi daripada apa yang telah dilakukan.

Falsafah tentang kebaikan adalah berbeza dan bergantung kepada kewujudan dalam kehidupan moral seseorang itu.Agama Kristian menyatakan bahawa kebaikan kesetiaan(virtue of faith),pengharapan(hope) dan kasih sayang(love) sebagai tret utama dalam sifat-sifat yang bermoral.Ini boleh ditambahkan lagi dengan kearifan (wisdom),keberanian(courage),kesederhanaan(temperance) dan keadilan(justice) yang mana merupakan kebaikan yang diperkenalkan oleh para ahli falsafah purba Greek.Kearifan, keberanian, kesederhanaan dan keadilan merupakan kebaikan utama dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain serta moral kebaikan yang lain dipercayai sebagai cabang daripada kebaikan-kebaikan di atas.Kebaikan yang berkaitan dengan keadilan(fairness),kesetiaan(faithfulness) dan mengenang budi(gratefulness) juga dipercayai atau merupakan kualiti yang seharusnya dimiliki dan ditunjukkan oleh seseorang yang bermoral.Dalam islam,kesanggupan meniru sifat-sifat ketuhanan seperti takwa,keimanan,sabar,ikhlas,jujur,zuhud dan segala sifat kesempurnaan Allah S.W.T. yang lain merupakan syarat kesempurnaan etika.Pembentukan etika yang berkesan adalah menerusi hati daripada sebarang perkara lain melainkan Allah S.W.T. dan pencetusan etika yang terpuji adalah yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta bertunjangkan akidah,syariah dan akhlak.

Aristotle mengatakan bahawa moral kebaikan secara umumnya adalah ciri-ciri terpuji yang dimiliki oleh sifat seseorang dan telah wujud dalam diri seseorang.Seorang yang berakhlak mulia(virtuous) adalah seorang yang mempunyai matlamat dan berada dipertengahan dan tidak keterlaluan serta mengelakkan tindakan yang berlebihan atau berkurangan.Imbangan sifat keterlaluan ini ditentukan menerusi tindakan kearifan(wisdom) oleh seseorang yang mempunyai pengalaman dan mempunyai kemahiran pertimbangan(judgement) dalam menghadapi sesuatu situasi yang baru.Seseorang yang memiliki wisdom tahu akan matlamat yang hendak dituju dan apa yang hendak dicapai dengan memelihara emosi dengan baik dan di samping memperlihatkan imbangan yang sesuai di antara taakulan(reasoning),perasaan(feeling) dan kemahuan(desire).

Dengan yang demikian terdapat sedikit perbezaan antara kebaikan dalam etika dengan dalam prinsip etika di mana kebaikan dalam etika menfokuskan kepada tret-tret sifat yang seharusnya dimiliki oleh seseorang dan berpegang kepadanya serta diperlukan dalam mengarah seseorang itu ke arah tindakan yang beretika dan apa yang seseorang akan menjadi kelak.Seseorang yang berpegang kepada etika kebaikan seharusnya mempercayai teori etika bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang yang berakhlak mulia bukan satu yang dapat melambangkan kewajipan manusia.

Memandangkan Teori Kebaikan(Virtue) tidak menfokuskan kepada tindakan,timbul satu persoalan: Bagaimanakah teori ini boleh menentukan betul atau salah sesuatu tindakan itu?. Sebagai contoh,terdapat dua orang yang dianggap sebagai berakhlak mulia dalam semua tindakan seharian mereka dan kedua-duanya mempunyai pendapat yang berbeza tentang sesuatu masalah.Keadaan ini banyak wujud dalam kehidupan seharian di mana seseorang yang dianggap sebagai berakhlak mulia seringkali memegang pendapat yang berbeza tentang sesuatu tindakan berhubung dengan sesuatu perkara.Isu rokok merupakan contoh yang baik di mana terdapat ulama yang mengatakan merokok adalah haram sedangkan terdapat ulama yang merokok.Dengan kata lain,seseorang yang berakhlak mulia yang membuat keputusan memilih sesuatu tindakan sedangkan dia sendiri tidak melakukan tindakan yang bermoral.Jadi tindakan yang manakah yang betul dan bagaimanakah ditentukan perbezaan kedua-dua tindakan berasaskan Teori Kebaikan.

Seseorang yang berakhlak mulia kadangkala tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dalam situasi tertentu kerana dia mungkin tidak tahu akan adanya alternatif lain ataupun tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang sesuatu perkara.Membuat penilaian tentang kualiti moral terhadap sesuatu tindakan dengan menilai kualiti moral seseorang adalah kurang tepat.Malah seseorang yang berakhlak mulia boleh bertindak di luar sifatnya dan melakukan tindakan moral yang salah dan ini tidak bermakna seseorang yang berakhlak mulia boleh melakukan kesalahan dan kesalahan tersebut dibenarkan.Tetapi sekiranya seseorang itu benar-benar berpegang kepada etika kebaikan maka adalah sukar untuk mengetahui samada tindakan tersebut salah atau tidak.

Etika kebaikan dan prinsip etika saling berkait.Teori etika yang lengkap memerlukan prinsip yang boleh digunakan untuk menilai tindakan yang bermoral dan mengkhususkan kebaikan tersebut akan boleh memaparkan ciri-ciri seseorang itu.Berdasarkan kepada kedua-dua pendekatan,kita boleh mengetahui seseorang itu berakhlak mulia menerusi tindakannya.Sekiranya untuk melihat kebaikan,kita boleh melihat menerusi tindakan yang diambil terhadap sesuatu dan dalam persekitarannya.

PENUTUP

Tanggungjawab(duty) dan prinsip moral dan kebaikan bermoral atau ciri-ciri tret bukanlah suatu yang bertentangan antaranya untuk dibuat pilihan tetapi merupakan perkaitan dalam aspek bermoral.Biarpun apa bentuk falsafah yang dipegang etika dan kebaikan moral merupakan dua entiti yang mempunyai perkaitan yang rapat dan saling bertimbal-balik.Memiliki ciri-ciri tret kebaikan yang berlandaskan kepada panduan dan peraturan etika membolehkan seseorang itu untuk membentuk dirinya mencapai peringkat berakhlak mulia dan seterusnya dapat bertindak ke arah kebaikan menerusi alasan-alasan dan berdasarkan persekitaran yang wujud.

BIBLIOGRAFI

1. Buchnolz,R.A.(1989),Fundamental Concepts and Problems in Business Ethics,Prentice Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey. 2. French,W.A. & John Granrose(1995),Practical Business Ethics,Prentice Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey 3. Hosmer,L.R.T.(1994),Moral Leadership in Business,Irwin Inc.,Boston 4. Hosmer,L.R.T.(1991),The Ethics in Management,Irwin Inc.,Boston 5. Mustaffa Daud(1996),Etika Pengurusan,Utusan Pub.&Dist.Sdn.Bhd.,K.L. 6. Myra Windwiller,Nadine Lambert & Elliot Turiel(1980),Moral Development and Socialization,Allyn and Bacon Inc.,U.S.A. 7. White,T.I.(1993),Busines Ethics: A Phylosophyical Reader, MacMiller Pub.Co.,N.York

Disediakan oleh: Rorzali Salleh MSc. (HRD) UNIMAS